Monday 1 August 2011

Susu makanan lengkap untuk semua

Loading...

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Artikel ini disalin dari akhbar Metro Ahad, 15 Mei 2011 dilaporkan  oleh Hidayatul Akmar Ahmad, m/s  F2, sisipan SIHAT. Maklumat lanjut berkaitan kesihatan sila bertanya kepada yang pakar.

Ulasan Dari Pakar Pemakanan UKM, Prof Dr. Norimah A Karim


KEBAIKAN pengambilan susu terhadap tubuh manusia sememangnya tidak dapat disangkal, apalagi kajian membuktikan ia makanan lengkap yang mengandungi semua nutrien diperlukan untuk kesihatan optimum bagi pelbagai peringkat umur, daripada golongan kanak-kanak hingga orang dewasa.

Susu mengandungi zat bermanfaat, antaranya kalsium, fosforus, magnesium dan protein yang semuanya penting untuk pertumbuhan tulang yang sihat, selain diperkaya dengan vitamin A, vitamin B, zink, riboflavin, potassium, sodium, zat besi dan sulfat.
 
Susu berada dalam kategorinya yang tersendiri kerana ia mengandungi mineral penting yang tidak dapat digantikan oleh kumpulan makanan lain.
Pengambilan susu sejak kecil dan sepanjang hayat membolehkan seseorang itu memiliki tahap tulang yang kuat serta kesihatan tubuh badan keseluruhannya.
 
Susu sama juga seperti makanan lain mengandungi gula semula jadi di dalamnya dalam bentuk laktosa selain bentuk gula lain seperti fruktosa, sukrosa dan sirap pejal yang semuanya bergabung untuk memberi tenaga kepada mereka yang meminumnya.
 
Menepis tanggapan sesetengah orang, susu tidak menggemukkan walaupun ia diberi tambahan gula dan kajian menunjukkan individu yang mengamalkan pengambilan susu dan makanan bersusu tampil lebih langsing berbanding mereka yang tidak minum susu.

Kajian juga menunjukkan pengambilan susu sebagai sebahagian diet untuk mengawal kalori berjaya mempercepatkan pengurangan berat badan, terutama di kawasan abdomen, sekali gus merendahkan risiko penyakit memandangkan pertambahan lemak di kawasan terbabit sering dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan.
 
Oleh itu, kepercayaan bahawa gula tambahan dalam susu mampu menggemukkan adalah tidak berasas memandangkan penyumbang masalah berat badan berlebihan bukan berdasarkan hanya satu jenis makanan tetapi ia disumbangkan oleh lebihan gula dalam keseluruhan pemakanan lain yang diambil secara tidak terkawal.

Malah kajian menunjukkan pengambilan susu secara berterusan mampu mengurangkan risiko untuk seseorang itu mendapat kencing manis jenis dua, iaitu masalah yang sudah lama membelenggu masyarakat, termasuk kanak-kanak.
 
Secara amnya, kebanyakan susu membesar di pasaran mengandungi gula asli yang jumlah keseluruhannya kurang daripada 40 gram bagi setiap 100 gram susu tepung dan ia tidak memberi kesan negatif pada kesihatan kanak-kanak, malah diperlukan untuk tumbesaran sempurna.
 
Kandungan susu membabitkan empat jenis karbohidrat dan hanya dua adalah gula iaitu Monosakarida (glukosa) dan Disakarida (sukrosa), manakala dua lagi bukan gula iaitu Oligosakarida (FOS) dan Polisakarida (kanji).
 
Pakar Pemakanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Norimah A Karim berkata, ibu bapa perlu sedar kandungan gula hadir secara semula jadi dalam semua jenis kumpulan makanan dan pemakanan seimbang serta gaya hidup sihat akan menentukan seseorang itu dapat mengekalkan berat ideal.
 
Katanya, bukan semua karbohidrat dalam susu bersifat gula dan kehadiran karbohidrat dalam bentuk Oligosakarida membantu menggalakkan pertumbuhan bakteria bagus untuk menyokong persekitaran usus yang sihat.
 
“Tanggapan bahawa gula dalam susu menggemukkan adalah tidak tepat kerana bukan semua karbohidrat dalam susu bersifat gula, malah pengambilan makanan lain dalam jumlah tidak terkawal sebenarnya penyumbang kepada masalah kegemukan di kalangan kanak-kanak.
 
“Salah mengatakan gula dalam susu penyumbang kepada masalah kegemukan, sedangkan peranan gula dalam susu sangat penting kerana ia adalah sumber tenaga dan diperlukan untuk menyokong pertumbuhan kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
 
Dr Norimah berkata, susu adalah makanan lengkap dan pembekal zat untuk pertumbuhan tubuh kanak-kanak serta memberi tenaga kepada otak untuk menjalankan fungsinya. Katanya, sepatutnya ibu bapa memberi perhatian kepada pemakanan anak-anak mereka secara keseluruhan, termasuk mengawal pengambilan coklat, minuman berkarbonat, gula-gula dan kek yang secara terang-terangan mengandungi gula yang tidak mempunyai nilai nutrien, bagi mengelak anak mereka mengalami masalah obesiti.
 
Menurutnya, berbanding makanan lain, pengambilan susu atau produk bersusu seperti keluaran Dutch Lady antara satu hingga tiga kali sehari adalah penting bagi memastikan kesihatan tulang serta tubuh terjamin.
“Selain gula, makanan lain yang mempunyai minyak, protein dan lemak juga mengandungi tenaga yang jika tidak dikawal, turut menyumbang kepada masalah kegemukan kanak-kanak.
 
“Gula asli dalam susu adalah laktosa tetapi bukan semua kanak-kanak mempunyai daya toleransi terhadap kandungan laktosa tinggi dalam susu, disebabkan itu ada gula jenis lain yang ditambah dalam susu namun ia masih mempunyai fungsi sama iaitu memberi tenaga dan tidak memberi kesan negatif kepada kesihatan kanak-kanak,” katanya.
 
Malah, katanya, penambahan gula dalam susu juga bagi menggalakkan kanak-kanak minum susu untuk mendapatkan khasiat keseluruhannya.
Sementara itu, Presiden Nutrition Society of Malaysia, Dr Tee E Siong berkata, susu adalah makanan terbaik untuk kanak-kanak kerana ia mengandungi lebih daripada kalsium bagi memastikan pertumbuhan tulang dan kesihatan yang optimum.
 
Katanya, walaupun susu diketahui baik untuk kesihatan bukan saja kanak-kanak malah orang dewasa, masih timbul pelbagai persoalan yang menyebabkan kekeliruan di kalangan orang ramai.
“Antara kekeliruan itu adalah gula dalam susu membesar boleh membuatkan kanak-kanak menjadi gemuk tetapi sebenarnya kenyataan itu tidak benar.
“Garis panduan pemakanan di negara ini menyarankan seseorang kanak-kanak itu minum antara satu hingga dua gelas susu sehari manakala dua gelas sehari untuk orang dewasa untuk mendapat khasiat pemakanan lengkap,” katanya.

No comments:

Post a Comment